EMPAT pasukan pilihan berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala Futsal Malaysia selepas mengenepikan cabaran lawan masing-masing di suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Panasonic Shah Alam.
Selangor Mac berjaya menepati ramalan awal selepas berjaya menewaskan Shah Alam City 5-0 untuk layak ke separuh akhir dengan aggregat 7-1 dengan Selangor menunjukkan penguasaan penuh dari awal permainan.
Dalam satu lagi perlawanan, Pahang Rangers turut layak ke separuh akhir apabila membenam Terengganu 2-1 untuk menang dengan aggregat 5-3 selepas berjaya memenangi suku akhir pertama 3-2 di Kuantan minggu lalu.
Kejutan berlaku pada aksi sebelah petang apabila Selangor Tot United bangkit menewaskan Negeri Sembilan 5-2 untuk kelebihan aggregat 6-5 walaupun tewas pada perlawanan pertama 3-1 dengan tiga gol pada awal saingan dan dua gol pada lewat permainan memerangkap Negeri Sembilan.
Perlawanan pada sebelah malam pula menyaksikan Pulau Pinang tidak memberi peluang kepada PDRM apabila menang selesa 7-2 untuk kelebihan aggregat 10-6 walaupun tewas pada aksi pertama 4-3 dengan empat gol pada babak pertama sudah cukup buat Pulau Pinang layak ke separuh akhir.
Selesai aksi suku akhir, kini saingan tertumpu kepada saingan separuh akhir yang dijadualkan pada 2 dan 16 Julai nanti dengan dua wakil Selangor akan berentap sesama sendiri manakala Pahang Rangers bakal bersaing dengan Pulau Pinang untuk merebut tiket ke perlawanan akhir.