TIGA pasukan pilihan menepati ramalan awal apabila berjaya mencipta kemenangan keatas lawan masing-masing dalam suku akhir pertama Piala Futsal Malaysia 2022.

Pada perlawanan sebelah pagi, juara MPFL, Selangor Mac terpaksa bekerja keras sebelum berjaya membenam cabaran Shah Alam City 2-1 dengan kesemua jaringan dihasilkan pada babak kedua.

Negeri Sembilan juga berjaya mencatat kemenangan menewaskan Selangor Tot United 3-1 untuk membawa bekalan selesa ke suku akhir kedua minggu hadapan.

Pada perlawanan sebelah petang di Stadium Panasonic Shah Alam, PDRM melakar kejutan apabila menewaskan Pulau Pinang 4-3 dengan kedua-dua pasukan saling berbalas gol sebelum PDRM berjaya menjaringkan gol kemenangan sembilan minit sebelum tamat.

Dalam aksi di Stadium Sukpa Kuantan pula, tuan rumah Pahang Rangers terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menewaskan Terengganu 3-2 dalam perlawanan derbi Pantai Timur yang cukup mendebarkan.

Kesemua lapan pasukan masih mampu melangkah ke peringkat separuh akhir sekiranya berjaya mencatat keputusan positif pada suku akhir kedua yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan.

 

Piala Futsal Malaysia 2022 menemukan lapan pasukan teratas Liga Premier Futsal Kebangsaan yang berakhir Mac lalu yang akan merebut kejuaraan dalam final yang dijadualkan pada 23 Julai nanti.