MANCHESTER City memastikan mara ke final Piala Dunia Kelab 2023 selepas menang besar 3-0 ke atas wakil Asia, Urawa Reds Diamonds pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung di King Abdullah Sports City, Arab Saudi, awal pagi Rabu.

Tiga gol Man City menentang kelab J-League termasuk jaringan sendiri Marius Høibråten pada minit 45+1, Mateo Kovacic minit ke-52, kemudian Bernardo Silva minit ke-59.

Pada perlawanan akhir Piala Dunia Kelab 2023, Man City akan bertemu kelab Brazil, Fluminense.

The Citizens menunjukkan penguasaan mereka ke atas Urawa Reds sejak separuh masa pertama. Pasukan Pep Guardiola memberi tekanan kepada Urawa Reds menerusi penguasaan bola yang dominan.

Pemain tengah The Citizens, Rodrigo kagum dengan mentaliti, keghairahan dan keinginan City dalam mencipta kemenangan sepanjang perlawanan berlangsung.

“Ia tidak mudah. Kami datang ke sini untuk memenanginya. Ini adalah mentaliti pasukan.

“Kami tahu kepayahan bermain bertemu kelab Jepun dan betapa sukarnya untuk menyerang mereka. Tetapi kami mendapat gol lewat pada saat terakhir separuh masa pertama. Kami terus melangkah dan kami tidak pernah berputus asa.

“Ia tidak pernah mudah menentang pasukan ini. Saya fikir itulah sebabnya kami memerlukan versi terbaik kami hari ini dan kami memerlukannya untuk perlawanan akhir,” katanya.

Image

Mateo menjaringkan gol kedua City.

Pemain asal Sepanyol itu juga mengulas persaingan hebat dipamerkan kelab dari Asia dan mampu menghadirkan cabaran ketat buat gergasi Eropah.

“Saya melihat banyak kemajuan secara umum. Saya rasa bola sepak sudah sampai ke tahap yang sama rata.

“Saya tidak maksudkan di mana-mana tetapi perbezaan semakin rapat. Mereka melonjakkan tahap yang begitu tinggi. Kami melihat pasukan yang sangat kompetitif hari ini,” katanya yang dilahirkan di Madrid.

City berjaya mara ke final Piala Dunia 2023 untuk menentang Fluminense pada Sabtu di Jeddah. Sementara itu, Urawa Reds akan berdepan kelab Mesir, Al Ahly dalam perlawanan tempat ketiga.