FOTO KREDIT : Melaka Hari Ini
PENGANJURAN Piala Ketua Menteri Melaka yang kembali kali ini adalah antara platform terbaik mencungkil bakat baharu negeri itu sejak terhenti kira-kira dua tahun gara-gara Covid-19.
Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal berkata, kejohanan dijadualkan berlangsung antara Ogos dan September ini, adalah pertama kali diadakan bagi menggantikan penganjuran terdahulu.
Katanya, antara acara dipertandingkan adalah bola jaring, futsal, bola sepak, bola keranjang dan sepak takraw khusus sebagai menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak.
“Pertama selepas Covid kita mengadakan kembali kejohanan yang kali terakhir pada 2019.
“Penganjuran itu juga adalah salah satu sumber pembangunan pemain muda dalam usaha memajukan sukan negeri dan memilih atlet berbakat ke Sukma nanti,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Jumaat.
Asri yang juga bekas jurulatih Melaka United yang bermain di Liga Super musim lepas menambah, kejohanan Piala Ketua Menteri adalah platform terbaik untuk mengeratkan hubungan antara kaum selain kegiatan beriadah menjaga kesihatan mental dan fizikal.
Malah katanya, tidak mustahil bagi remaja di negeri ini dapat mengecapi kejayaan di peringkat lebih tinggi termasuk peringkat antarabangsa jika ada lagi program pembangunan rapi dan terancang.
Kejohanan sukan Piala Ketua Menteri bakal menghimpunkan kira-kira 5,000 atlet dari semua 28 Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Melaka.
Perasmian dan penyampaian hadiah bakal disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.