PERTAHANAN kental Terengganu FC, Pape Diakite menganggap perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2022 menentang Kuala Lumpur City FC di Gong Badak nanti umpama pertemuan hidup mati buat pasukannya.
Ini kerana Terengganu hanya membawa bekalan tipis satu gol ketika menang 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras Ahad lalu dan kini mengharapkan sokongan penyokong mampu memberikan mereka semangat tambahan.
Dia yang tidak berpuas hati dengan aksi peribadi mahu memberikan segalanya pada aksi kedua ini dan menyeru kesemua penyokong Terengganu untuk hadir ke stadium seperti mana yang sentiasa dilakukan.
“5-0 pun tidak mencukupi sebenarnya dalam bola sepak, apa lagi 1-0 tetapi kami akan bermain sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan seterusnya layak ke peringkat separuh akhir.
“Saya tidak berpuas hati dengan aksi saya pada suku akhir pertama kerana saya sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang saya berikan tetapi komunikasi antara rakan sepasukan sangat bagus dan ini membantu kami bermain baik.
“Kepada penyokong Terengganu, teruskan hadir ke stadium menyokong kami seperti mana yang anda semua lakukan seperti sebelum ini dan saya berterima kasih kepada semua penyokong yang sentiasa berdiri di belakang pasukan,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Pape juga sedar mereka berhadapan lawan yang juga juara bertahan dan finalis Piala AFC dan pastinya satu aksi yang sukar akan dihadapi kerana KL City bermain baik sebagai satu unit terutama ketika bertahan dan serangan balas.
Terengganu FC kini sedang dalam prestasi terbaik dengan rekod 10 jaringan dari tiga perlawanan namun perlu berhati-hati dengan kelicikan strategi Bojan Hodak yang mungkin boleh memerangkap mereka di hadapan penyokong sendiri.
Sokongan padu penyokong tuan rumah pasti akan mendorong para pemain menunjukkan aksi yang cemerlang namun segalanya boleh berlaku dalam bola sepak.