SABAH FC mungkin sedikit tempang menanti kunjungan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia di Stadium Likas pada Selasa malam.
Jelas Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, tempoh 24 jam akan dinilai kesemua para pemain untuk mengetahui sama ada boleh bermain ataupun tidak.
“Kita tahu JDT satu pasukan yang terbaik dari segenap sudut dan mampu menghasilkan jaringan pada setiap perlawanan. Bahkan, keputusan gol yang besar di peringkat suku akhir menunjukkan kualiti dimiliki mereka.
“Apa yang harus kami lakukan adalah cuba mengelak kesilapan dan tidak membenarkan penyerang bergerak bebas dalam kawasan Sabah,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Isnin.
Jelas bekas pengendali Harimau Muda A itu, beliau menaruh kepercayaan kepada pemain sedia ada bagi menghadirkan cabaran kepada pasukan lawan kendalian Hector Bidoglio.
“Kita masih ada beberapa pemain yang boleh beraksi. Namun yang penting saya harus pastikan semua pemain cedera mampu beraksi pada perlawanan akan datang atau pemain sedia ada harus bersiap dari sekarang sebelum kita bermain menentang JDT,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Piala Malaysia 2022 : Selepas 4 tahun, Sabah kembali beraksi di peringkat separuh akhir
The Rhinos kembali ke pentas separuh akhir TM Piala Malaysia selepas empat tahun apabila menyingkirkan cabaran Kuching City FC di fasa suku akhir.
Pencapaian terbaik mereka dalam kejohanan berprestij itu adalah muncul naib juara tiga kali pada 1996, 2002 dan 2003.