BORNEO Derby antara pasukan Kuching City FC menentang Sabah FC esok malam jelas bakal menjadi sesuatu yang menarik untuk diperkatakan dalam menyaksikan kehangatan Piala Malaysia peringkat suku akhir esok.

Bermain di laman sendiri, Kuching City nyata perlu memanfaatkan peluang di hadapan ribuan penyokong tuan rumah yang bakal membanjiri stadium kerana tiket akan diberi secara percuma kepada semua yang hadir.

Anak didik Irfan bakti sedar keperluan untuk mereka menjaringkan gol dan memenangi aksi di laman sendiri sebelum bakal bertandang ke Sabah dalam aksi timbal balik kedua dengan tekanan yang lebih hebat.

Kuching sudah pasti mempertaruhkan key players yang dimilikinya iaitu penyerang prolifik, Abu Kamara dan mengharapkan Alif Hassan mampu mencipta hantaran menarik di bahagian tengah.

Pertahanan pula pastinya tumpuan diberikan kepada Aylton Fereira Ananias dan Yuki Tanigawa untuk mengekang asakan merbahaya penyerang Sabah FC.

Manakala, Sabah FC pastinya turun dengan misi membawa kemenangan sebagai bekalan selesa untuk dibawa ke aksi suku akhir kedua di Stadium Likas.

Berbekalkan pemain yang memiliki karakter dan kualiti tersendiri seperti Baddrol Bakhtiar, Maxsius Musa, Nazirul Naim dan Saddil Ramdani, pastinya asakan akan dilakukan secara bertubi-tubi sebaik wisel perlawanan dibunyikan.

Bagaimanapun, Sabah FC perlu berhati-hati dengan breakthrough yang bakal dilaksanakan Kuching City FC apabila mereka mempunyai peluang melakukan serangan balas.

Sudah pasti Sabah FC tidak mahu episod hampir dimalukan pasukan UiTM FC tempoh hari apabila kelekaan saat-saat akhir membawa kepada gol-gol mudah yang sepatutnya dielakkan.