PENJAGA gawang Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat yang lebih mesra disapa ‘Apek’ mengesahkan bahawa dia tidak akan diturunkan untuk aksi timbal balik Piala Malaysia 2022 malam esok.
Perkara itu disahkan Apek selepas rata-rata penyokong gusar apabila tidak dapat melihat keberadaan penjaga gol berasal dari Kota Bharu itu yang tidak diturunkan jurulatih, Ong Kim Swee dalam aksi pusingan pertama peringkat kalah mati berdepan Universiti Teknologi MARA di Stadium UiTM, Shah Alam.
Ia berikutan kecederaan pangkal paha serius dialaminya dan kini masih dalam proses pemulihan.
“Saya cedera kalau hendak tanya tentang perlawanan seterusnya. Cedera bahagian groin, dan tidak akan dapat beraksi,” katanya menerusi perbualan Whatsapp ringkas bersama FLASH SUKAN.
Ketiadaan Khairul Fahmi di benteng terakhir pasukan pastinya menjadi medan terbaik buat penjaga gol muda, Damien Lim memperagakan aksi terbaik dalam aksi timbal balik menentang UiTM di Likas, pada Isnin.
Terdahulu, Damien Lim turut mendapat kepercayaan Kim Swee pada pusingan pertama Piala Malaysia menentang UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam apabila diturunkan menggantikan posisi utama penjaga gawang yang dikendalikan Apek sebelum ini.
Aksi pusingan pertama Piala Malaysia 2022 antara Sabah FC dan UiTM berkesudahan 2-1 menyaksikan The Rhinos membawa pulang kelebihan satu gol menjelang aksi di Likas.