KAPTEN pasukan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar enggan memikirkan soal kontraknya yang bakal tamat akhir musim ini, sebaliknya mengalih perhatian kepada aksi suku akhir kedua TM Piala Malaysia bertemu Kuching City FC malam esok.

Katanya, keutamaan kini adalah membawa The Rhinos mara ke peringkat pusingan empat terbaik dan memburu slot ke Asia.

“Mengenai kontrak saya di Sabah FC, saya sudah selesai, mungkin terpulang kepada pihak pengurusan. Saya sekarang ini hanya fokus untuk Piala Malaysia dan ingin membawa pasukan sejauh mana yang mungkin.

“Pasukan Kuching City sedang meningkat naik dan kami akan anggap perlawanan malam esok adalah bermula 0-0 di Likas.

“Kami akan bagi sebaik mungkin dan membuatkan permainan menarik ketika bermain di hadapan penyokong sendiri,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN semasa sesi latihan di padang Sabah FC pada petang Khamis.

Dalam pada itu, bekalan satu gol yang dibawa dari Stadium Negeri pada suku akhir pertama masih belum mencukupi buat Sabah jika berhasrat mahu melakar kembali sejarah layak ke separuh akhir, empat tahun lalu.

Jelas pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, pasukan lawan pasti akan datang dengan corak menyerang dan menghadirkan tentangan sengit nanti.

“Kita tak boleh hilang momentum, kekalkan fokus dari segi disiplin terutama semasa bertahan.

“Bukan satu perlawanan mudah bertemu Kuching City. Kita harus memastikan tidak dibolosi, itu yang penting pada malam esok,” katanya.

 

Sabah sedikit tempang kerana sejumlah pemain mereka, Jose Embalo, Jackson de Souza, Park Tae-soo, Khairul Fahmi Che Mat, Gary Steven Robbat dan Dominic Tan dilanda isu kecederaan.

“Tetapi kita masih mempunyai beberapa pemain yang masih belum diputuskan sama ada boleh diturunkan ataupun tidak,” katanya.