TONGGAK tengah Sabah FC, Baddrol Bakhtiar seakan-akan sudah mempunyai firasat bahawa dia mampu menjaringkan gol sewaktu perlawanan bertemu Kuching City FC dalam aksi suku akhir pertama semalam.
Luahan itu disuarakannya setelah mempunyai ‘instinct‘ yang kuat sebelum wisel perlawanan dibunyikan bahawa jaringan pasti akan terhasil di tempat lawan.
Jangkaannya nyata benar belaka apabila bola muntah dari penjaga gawang Kuching City FC, berjaya disudahkannya menerusi satu tindakan susulan menarik membawa The Rhinos pulang dengan kelebihan satu gol untuk dibawa dalam aksi suku akhir kedua di Likas Jumaat depan.
“Saya merasakan akan dapat menjaringkan gol sebelum permainan dimulakan. Malam tadi, kami berjaya untuk tidak melepaskan gol untuk kita bawa ke Likas.
“Bagi saya dan rakan-rakan ia adalah suatu keputusan yang positif untuk kami bawa ke Likas nanti. Bekalan 1-0 juga masih belum muktamad kerana Kuching City FC masih ada 90 minit di Likas,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
ARTIKEL BERKAITAN: Piala Malaysia 2022: Baddrol peledak gol tunggal di Stadium Negeri
Dalam pada itu, Baddrol turut mendedahkan nasihat dan perbualan jurulatih Ong Kim Swee bersama kesemua pemain sewaktu berada di bilik persalinan sebelum babak kedua bermula.
“Pesanan jurulatih kepada kami adalah mengekalkan rentak perlawanan dan teruskan fokus. Semestinya kami harus mengelakkan tidak dibolosi dalam perlawanan malam tadi. Kami harap dapat mengekalkan momentum dalam perlawanan seterusnya,” katanya.