SEMUA maklum bahawa media sosial kini adalah medium utama penyampaian maklumat mengenai aktiviti dan informasi berkaitan kelab dan kadang kala perang di media sosial boleh menjadi tarikan dan menghangatkan suasana sebelum pertandingan sebenar.

Aksi pertembungan juara bertahan Piala Malaysia, Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC sememangnya menarik perhatian peminat bola sepak tempatan kerana intensiti yang bakal ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan.

Tetapi aksi ‘banter’ di media sosial antara admin kedua-dua pasukan lebih menarik perhatian dan mengundang senyuman buat para pengikut sekaligus menambah kemeriahan dan warna warni pertandingan.

 

Bermula dari hantaran di laman Twitter TFC yang menyatakan mereka pernah menewaskan KL City di Cheras 2-1 sebelum ini dengan ciapan “Been there done that“, admin KL City membalas dengan gambaran empat Piala Malaysia yang pernah dimenangi mereka sebelum ini.

Ciapan balas ini mendapat respons yang cukup memberangsangkan daripada netizen dan ianya melonjakkan lagi rating dan kehangatan perlawanan yang ditunggu-tunggu ini.

Tidak cukup dengan itu, admin TFC sekali lagi membakar KL City dengan ciapan “ianya akan kekal dengan empat, silau pula esok kita tutup sinaran matahari” yang mendapat balasan sekali lagi dari admin KL City.

 

Perkara-perkara seperti ini sangat menarik dan harus diberikan kredit kepada semua yang terlibat untuk memeriahkan suasana dan bahang aksi suku akhir Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Kuala Lumpur City FC berdepan tugas sukar mempertahankan Piala Malaysia apabila bakal bertemu pasukan yang sedang dalam kemuncak prestasi, Terengganu FC dalam suasana yang dijangka meriah di Cheras.