SABAH FC menepati ramalan awal pemerhati bola sepak tempatan apabila berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2022 bertemu naib juara musim 2021, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Namun Skuad Badak mempunyai pelbagai cabaran untuk menghadapi aksi penting ini apabila ada beberapa pemain yang tidak dapat diturunkan selain mempunyai waktu yang singkat dalam melakukan persiapan pasukan

Namun pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee yakin sesiapa pun yang bakal diturunkan akan memberikan aksi terbaik terutama apabila beraksi di hadapan para penyokong sendiri.

“Tidak banyak dapat kita lakukan daripada segi latihan di mana kami hanya dapat melakukan latihan-latihan yang ringan dan saya berharap agar semua pemain dalam keadaan yang cukup cergas.

“Kami juga kehilangan khidmat Park Tae Su, Jose Embalo dan Jackson De Souza kerana masih lagi mengalami kecederaan disamping Gary Steven Robbart dan Khairul Fahmy Che Mat serta Stuart Wilkin dan Irfan Fazail yang tidak boleh diturunkan menentang JDT jadi kita akan bermain dengan pemain-pemain yang sedia ada.

“Tetapi saya percaya mereka yang diturunkan mampu menjalankan tugas yang baik apabila bermain pada Selasa terutama apabila bermain di tempat sendiri yang juga adalah perlawanan terakhir kita di Likas untuk musim ini,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Datuk Ong Kim Swee

Selain itu Datuk Ong juga menggesa para penyokong untuk hadir ke stadium memberikan sokongan dan mengelakkan diri dari segala insiden yang tidak diingini dan menjadi contoh kepada penyokong lain.

“Kepada para penyokong, saya harap mereka hadir memberi semangat dan sokongan yang padu terutama apabila kita bermain dengan pasukan JDT dalam peringkat separuh akhir ini.

“Pada masa yang sama, saya harap para penyokong dapat menjaga keselamatan dan menjadi contoh kepada semua para penyokong dengan mengelak dari terlibat dalam insiden-insiden yang boleh memberi kita satu impak yang negatif pasukan Sabah FC,” tambahnya.

Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga Sabah FC berhadapan Harimau Selatan dengan dua pertemuan Liga Super musim ini menyaksikan JDT menang 2-1 di Likas dan 3-0 di Iskandar Puteri.