JURULATIH Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyedari kekuatan pasukan Negeri Sembilan FC menjelang saingan suku akhir Piala Malaysia 2022 Ahad ini.

Tidak mengambil mudah aksi ini, Cheng Hoe sedar beberapa pemain utama lawan perlu diawasi antaranya Mattheus Alves Leandro dan Gustavo Almeida Dos Santos kerana memiliki kelajuan luar biasa yang boleh mendatangkan masalah kepada pasukan Selangor FC.

Di bahagian pertahanan pula, penjaga gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed serta Ahmad Khuzaimi Piee adalah antara pemain yang sangat konsisten serta sukar untuk dibolosi penyerang Selangor FC setakat ini.

“Mereka mempunyai pemain-pemain yang laju dan merbahaya seperti Alves dan Gustavo yang sememangnya ‘berbahaya’. Kita akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan rekod clean sheet.

“Memang kalau kita lihat Negeri Sembilan mempunyai kekuatan dari segi pemain mereka termasuk Syihan dan Jimmy nampak begitu menyerlah. Kalau kita lihat pusingan pertama mereka menjaringkan gol. Mereka mempunyai strategi terbaik untuk pasukan mereka,” ujarnya ketika ditemubual media pada sesi latihan pasukan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Tan Cheng Hoe turut mengakui bahawa skuad The Jangs memiliki kemampuan set pieces yang sangat baik serta mampu mendatangkan bahaya kepada pasukan lawan.

Justeru, dia telah menasihati pemain agar mengawasi setiap pergerakan pemain Negeri Sembilan bagi menidakkan peluang lawan yang boleh terhasil melalui set pieces dan sepakan penjuru berdekatan pintu gol Gergasi Merah.

“Dalam bola sepak kita tidak boleh mengelakkan pasukan lawan untuk tidak mendapatkan set pieces. Namun kita harus mengelakkan kesalahan di hadapan gol serta sepakan penjuru. Dari segi taktikal, kami perlu mengawasi setiap pergerakan mereka,” katanya.

Selangor akan turun berdepan Negeri Sembilan FC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.