KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe ternyata berpuas hati dengan corak persembahan yang dipamerkan anak buahnya dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC meskipun terlepas hampir 23 peluang melakukan jaringan di hadapan pintu gol lawan.
“Bagi saya, sebagai jurulatih saya sangat berpuas hati dengan komitmen para pemain. Sikap mereka juga bagus. Saya sangat gembira untuk berada di sini untuk memperbaiki para pemain.
“Corak taktikal kita memang saya mahu pemain kekalkan, memang menjadi tanda tanya kepada pasukan tetapi saya yakin pemain mampu mengekalkan corak tersebut ketika bermain di Negeri Sembilan,” katanya ketika sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Jelasnya, dia telah menetapkan ‘benchmark’ sebenar untuk dijadikan panduan kepada pemain Selangor FC untuk mengekalkan corak permainan sedia ada dalam setiap perlawanan.
“Saya sudah tunjukkan kepada mereka ini cara sebenar kita ingin bermain. Sudah tentu, ia akan mengambil masa tetapi saya yakin jika kita ikuti peraturan, sudah tentu kita akan mara ke tahap yang kita mahukan,” jelasnya.
Berbekalkan kelebihan dua gol, Cheng Hoe menyedari ianya bukanlah bekalan selesa buat Gergasi Merah menempah tiket ke separuh akhir.
Namun, dia tetap optimis pemain dapat mempamerkan persembahan terbaik di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi dengan mindset positif biarpun terpaksa beraksi di hadapan ribuan penyokong The Jangs.
“Kita kena pergi dengan satu mindset positif kerana bekalan 2-0 bukan pasti untuk kita layak ke separuh akhir tetapi saya mahu pemain bijak mengatasi situasi tersebut kerana sudah tentu bukan senang bermain di Seremban nanti,” ujarnya.