KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe nyata tidak berpuas hati dengan corak permainan ditampilkan anak buahnya biarpun berjaya melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan United dalam aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

“Saya tidak berpuas hati kerana kita melihat banyak kelemahan yang cukup ketara terutama hantaran-hantaran kita tidak dapat dibuat dengan baik,” katanya ketika sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium MBPJ Kelana Jaya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe sudah memberi gambaran bahawa penyerang import Selangor FC, Herlison Caion bakal direhatkan dalam aksi suku akhir pertama menentang Negeri Sembilan FC ekoran kecederaan ringan yang dialaminya.

“Saya nak rehatkan Caion untuk perlawanan suku akhir menentang Negeri Sembilan FC. Minggu lepas, dia ada sedikit kecederaan tetapi tidak serius. Atas sebab itu, saya mahu merehatkannya,” kongsinya.

Biarpun prestasi keseluruhan tidak begitu meyakinkan , namun Cheng Hoe  memuji prestasi meyakinkan yang dipamerkan arkitek tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal apabila acap kali berjaya melepasi perangkap lawan serta melakukan percubaan merbahaya.

“Secara keseluruhan, kita nampak Mukhairi Ajmal sudah meningkat dari kemahiran individu dan dia mampu menggalas tugas sebagai pemain utama dalam pasukan dan tentunya banyak lagi cabaran yang akan menantinya pada masa hadapan,” jelasnya.

Sementara itu, Jurulatih Kelantan United, Nazrul Erwan Makmor mengakui corak permainan bertahan yang dilakukan pasukannya merupakan antara taktikal yang diterapkannya dalam perlawanan ini.

Dia turut berpijak pada bumi yang nyata bahawa secara hakikatnya pasukan Selangor FC adalah jauh lebih baik berbanding Kelantan United FC.

“Itu adalah salah satu daripada taktikal, kalau kita main secara open game, kita akan kena 3 atau 4 gol, jujur.

“Kita ada peluang menjaringkan gol bertemu Selangor FC tetapi jika kita tidak mengambilnya, maka mereka akan menghukum kita.

“Secara jujur, jurang kita dengan pasukan Selangor FC adalah begitu besar,” jelasnya.

Bagaimanapun, dia tetap berpuas hati dengan peningkatan yang ditunjukkan pemainnya serta amat menagih sokongan padu yang diberikan staf kejurulatihan termasuk penyokong biarpun dia baru sebulan dilantik menjawat jawatan tersebut.

“Jujur saya cakap, semenjak saya mengambil pasukan ini, peningkatan yang banyak daripada liga perdana.

“Sekurang-kurangnya saya berpuas hati dengan pemain- pemain saya, dengan staf kejurulatihan dan penyokong, mereka memberi sokongan yang baik,” ujarnya.