KETUA Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) , K. Devan mengakui pertahanan mereka agak longgar serta banyak memberi ruang kepada pemain Selangor FC melancarkan serangan.
“Saya nampak kita banyak memberi ruang kepada pemain tengahnya. Saya nampak pertahanan kita kurang baik pada separuh masa pertama.
“Pada separuh masa pertama, saya mengakui Selangor lebih baik daripada pasukan Negeri Sembilan FC. Kita banyak bertahan dan kita tidak dapat mengawal permainan dan kurang agresif,” ujarnya ketika sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Jelas Devan, turning point yang mengubah dan mematikan sepenuhnya rentak permainan NSFC adalah setelah Herold Goulon dilayangkan kad merah dan The Jangs terpaksa bemain dengan sepuluh pemain.
“Setelah menganalisis aksi separuh masa pertama, kita telah mengenalpasti kelemahan pemain dan selepas itu bermula dengan baik sehingga terpaksa menghadiahkan sepakan penalti dan dilayangkan kad merah.
“Itu merupakan turning point yang sangat penting dalam perlawanan ini. Kita lepaskan satu gol, kemudian kita bermain dengan 10 orang,” katanya.
Bagaimanapun, K. Devan yakin Negeri Sembilan FC bakal tampil dengan aksi lebih menarik serta berjanji akan memberi masalah kepada Gergasi Merah.
“Saya yakin NSFC boleh bermain lebih baik dari hari ini. Saya yakin dengan kebolehan pasukan saya. Kita akan beri yang terbaik di Paroi. Sudah tentu satu perlawanan yang sukar untuk pasukan Selangor, saya yakin,” jelasnya.
Pada perlawanan tersebut, Negeri Sembilan FC terpaksa akur dengan tewas 0-2 kepada tuan rumah.