SELANGOR FC berjaya lolos ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2022 meskipun sekadar seri 2-2 bertemu Negeri Sembilan FC pada aksi timbal balik di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Ia merupakan penantian hampir enam tahun untuk Gergasi Merah mara sejauh itu dalam saingan berprestij tersebut.
Aksi babak pertama bermula rancak dengan Herlison Caion terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-10 sebelum disamakan Matheus Alves pada minit ke-25.
Voli Yazan Al-Arab pada minit ke-45 sekali lagi menambah derita The Jangs apabila berjaya menewaskan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi sekaligus mendahului tuan rumah 2-1.
Tatkala kedudukan seakan ditamatkan dengan kelebihan satu gol kepada Gergasi Merah, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak bijak menghukum kealpaan pelawat dengan menyumbat masuk gol penyamaan menjadikan kedudukan 2-2 tamat saingan babak pertama.
Gerakan pantas Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau hampir membuahkan hasil namun rembatannya berjaya ditepis kemas penjaga gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Keputusan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Selangor FC mengatasi Negeri Sembilan FC menerusi agregat 4-2.