KELANTAN FC berjaya menempah tempat ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan pasukan Liga Super yang sedang bergelut, Sarawak United di Stadium Sultan Muhammad Ke-4, Kota Bharu.
Selepas berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 di Kuching, Kelantan berjaya ke suku akhir dengan kemenangan agregat 2-1 meskipun terikat 1-1 dengan Nurshamil Ghani muncul wira dengan jaringan kemenangan.
Kelantan yang bermain di hadapan penyokong sendiri beraksi baik dengan banyak melancarkan serangan demi serangan namun sering dihampakan ketumpulan penyudah dari barisan serangan.
Keputusan Masa Penuh
Kelantan 1-1 Sarawak United
⚽ Nurshamil Ghani 12'
⚽ Raja Imran Shah 31'Kelantan menang aggregat 2-1 dan layak ke suku akhir #gomokelategomo#encangsarawakencang pic.twitter.com/KS1YLWNzDm
— Flash Sukan (@FlashSukan) October 31, 2022
Sarawak United pula bermula dengan aggresif untuk mendapatkan gol awal tetapi tidak dapat menembusi barisan pertahanan Kelantan yang bertahan dengan berdisiplin.
Nurshamil menggegar gawang Sarawak pada minit ke-12 untuk memberikan kedudukan aggregat 2-0 sebelum Imran Shah merapatkan kedudukan menerusi tandukan 15 minit sebelum tamat babak pertama.
Kedua-dua pasukan berbalas serangan pada babak kedua namun masih ketandusan jaringan dan akhirnya kemenangan berpihak kepada anak-anak buah Rezal Zambery Yahya.
Kemenangan ini bakal menemukan Kelantan dengan Johor Darul Ta’zim di suku akhir yang pastinya akan menjadi perlawanan tumpuan dengan Kota Bharu menjadi venue perlawanan pertama.
Sarawak United pula tersingkir dari saingan Piala Malaysia dan kini menunggu nasib badan rayuan sama ada mereka kekal di Liga Super 2023 atau perlawanan ini menjadi perlawanan terakhir kelab itu.