JOHOR DARUL TA’ZIM (JDT) tidak mempunyai masalah untuk layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2022 apabila berjaya mengenepikan cabaran PJ City FC di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Gol daripada Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri pada setiap babak sudah cukup untuk memberikan kemenangan 2-0 kepada JDT dan 6-0 menerusi agregat dan menamatkan saingan PJ City dalam Piala Malaysia musim ini.
Hector Bidoglio yang semakin selesa mengendalikan pasukan melakukan banyak perubahan dalam kesebelasan utama dengan Jordi Amat dan K.Daryl Sham melakukan debut dalam Piala Malaysia.
Keputusan Masa Penuh
Johor Darul Ta'zim 2-0 PJ City FC
⚽ Bergson Da Silva 4', Fernando Forestieri 73'
JDT menang aggregat 6-0#luaskankuasamujohor#yakinilokal pic.twitter.com/R7eKfMm3NV
— Flash Sukan (@FlashSukan) October 31, 2022
Meskipun tidak turun dengan barisan utama namun JDT tetap mengekalkan penguasaan permainan sejak dari awal perlawanan dengan PJ City sekali sekala cuba melakukan serangan balas.
Bergson yang tidak diturunkan pada perlawanan pertama berjaya meledak seawal minit keempat dan terus mengkucar kacirkan pertahanan lawan dan gandingannya dengan Forestieri mencipta gol kedua pada pertengahan babak kedua.
Hampir 12,000 penyokong yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim nyata gembira dengan persembahan yang ditunjukkan oleh barisan pemain tempatan dalam memastikan langkah JDT di Piala Malaysia dapat diteruskan.
JDT kini menanti pemenang antara Kelantan dan Sarawak United di peringkat suku akhir dan melebarkan rekod tanpa kalah dalam pertandingan domestik musim ini.