PERTAHANAN Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee berazam membawa skuadnya mara sejauh mungkin dalam saingan Piala Malaysia tahun ini.

Jelasnya, selagi mempunyai kudrat untuk bermain, dia akan menampilkan persembahan terbaik bagi meneruskan kecemerlangan The Jangs ke separuh akhir kempen Piala Malaysia.

“Azam saya bersama Negeri Sembilan FC adalah untuk layak ke peringkat yang lebih jauh. Dalam kempen Piala Malaysia ini, saya akan cuba sebaik mungkin membawa Negeri Sembilan FC pergi sejauh mungkin.

“Selagi saya mampu bermain, saya akan cuba lebih dari seratus peratus dan akan mencuba membawa Negeri Sembilan FC ke peringkat seterusnya (separuh akhir),” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Bagaimanapun, dia yang mesra disapa Jimmy menjelaskan kehadiran Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih menggantikan Michael Feichtenbeiner telah mengubah landskap permainan Selangor FC menjadi semakin baik pada masa ini.

Justeru, The Jangs tidak boleh leka dengan pasukan Red Giants yang memiliki skil individu yang tinggi serta mampu melakukan jaringan dari setiap sudut di atas padang.

“Bagi kami, semua pemain Selangor adalah pemain yang berkesan. Kami semua tidak boleh leka dan melakukan kesilapan. Kita boleh lihat dengan konsistensi Selangor di akhir-akhir liga ini nampak berbeza.

“Kalau kita dapat lihat, Selangor banyak menggunakan formasi 4-3-3, jadi kita tidak boleh fokus kepada seorang pemain sahaja. Sesiapa sahaja boleh menjaringkan gol, tidak kira di bahagian serangan atau pertahanan,” katanya.

Biarpun dilanda kecederaan lutut kanan sewaktu menentang Kedah Darul Aman FC pada aksi suku akhir kedua sebelum ini, namun kini Jimmy telah pulih sepenuhnya dan bersedia menggalas tugas berdepan juara terbanyak Piala Malaysia.

“Semasa lawan Kedah ada kecederaan lutut kanan sedikit tetapi kini sudah pulih sepenuhnya. Semasa bermain dengan Kedah hari itu saya main sampai habis juga,” jelasnya.