PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain memuji karektor pemain-pemainnya dan menganggap perkara ini adalah faktor kemenangan dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia ke atas Kuala Lumpur City FC.

Nafuzi sudah menjangkakan satu perlawanan yang sukar lebih-lebih lagi apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas penjaga gol, Suhaimi Husin dilayangkan kad merah.

Dia juga memuji aksi penjaga gol keduanya, Sharmiza Yusof namun sedikit kecewa dengan beberapa keputusan yang menyebabkan pemainnya banyak dilayangkan kad kuning.

“Syukur kerana kami dapat keputusan positif untuk dibawa balik ke Terengganu selepas kami menjangkakan satu perlawanan yang sukar menentang KL City.

“Karektor pemain adalah punca kepada kemenangan ini kerana bukan mudah untuk bermain dengan 10 pemain namun mereka tetap bersemangat dan berdisiplin meskipun diasak dan bagi saya keputusan 1-0 mencukupi untuk malam ini.

“Saya sedikit kecewa dengan keadaan yang menyebabkan kami mendapat kad kuning kerana dilihat agak ‘soft’. Keputusan penjaga gol untuk keluar adalah pantas dan kita kena teruskan aksi tetapi Sharmiza beraksi cemerlang dengan pengalaman yang ada pada beliau.

“Kami juga masih mengekalkan corak ‘attacking football’ meskipun bermain 10 orang memaksa kami bermain sedikit bertahan namun apa yang penting kita hanya fokus dengan permainan kami dan bertahan secara satu unit dengan pemain menjaga satu sama lain,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Nafuzi turut menegaskan bukan mudah untuk menentang KL City kerana mereka adalah juara bertahan dan mereka memerlukan usaha tambahan dan kesabaran untuk memenangi perlawanan ini.

Dengan bekalan satu gol, Nafuzi beranggapan nasib menyebelahi Terengganu apabila KL City gagal menyempurnakan peluang yang ada dan mengharapkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Terengganu FC akan menerima kunjungan Kuala Lumpur City FC di Kuala Terengganu untuk aksi timbal balik pada 12 November 2022 dengan satu lagi aksi menarik bakal disajikan dihadapan penyokong setia skuad Peteh.