SABAH FC membuktikan mereka mempunyai kualiti yang lebih baik apabila berjaya meranapkan impian tuan rumah Universiti Teknologi MARA (UiTM) FC dalam aksi perlawanan pertama TM Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam sebentar tadi.

Aksi babak pertama dilihat seimbang namun perbezaan kualiti pemain jelas menjadi pemisah apabila Baddrol Bakhtiar bijak menyempurnakan sepakan percuma yang dimiliki sekaligus meletakkan The Rhinos di hadapan pada minit ke-44.

Kemasukan Maksius Musa pada separuh masa kedua jelas menambah sengat pasukan ‘Negeri Di Bawah Bayu’ itu apabila berjaya menggegar gawang UiTM FC dengan rembatan padu pada minit ke-70 menewaskan penjaga gol UiTM FC, Robson Rendy Rining sekaligus menambah derita tuan rumah dengan kedudukan 2-0.

Tersentak dengan jaringan tersebut, UiTM FC terus memperkemas serangan dan memiliki peluang terbaik merapatkan jurang menerusi larian pantas pemain import, George Tetteh Attram namun penjaga gol simpanan Sabah FC, Damien Chien Khai Lim menafikan hasrat UiTM FC.

The Lion Troops sekali lagi tampil dengan serangan merbahaya pada minit ke-82 menerusi tandukan tipis Muhammad Faris Mohd Zabri namun hanya sedikit melewati pintu gol Sabah FC.

Semangat luarbiasa tersebut diteruskan UiTM FC apabila turut memiliki peluang keemasan menerusi rembatan Muhamad Nazirul Hasif Mailang namun rembatannya tepat ke dakapan penjaga gol, Damien Chien Khai Lim.

Kealpaan benteng pertahanan Sabah FC pada minit-minit kecederaan berjaya merapatkan jurang tuan rumah apabila George Tetteh Attram menyumbat masuk gol pertama sekaligus menjadikan kedudukan 1-2.

Keputusan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Sabah FC membawa kelebihan satu gol dalam aksi timbal balik di Stadium Likas, Sabah.