WALAUPUN kem Sabah FC dihantui isu masalah kecederaan pemain menjelang aksi timbal balas separuh akhir kedua TM Piala Malaysia pada Ahad, satu solusi kini dicari oleh pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee.
Beberapa tonggak utama terpaksa diketepikan Kim Swee ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari yang membawa kelebihan satu gol kepada pelawat untuk dibawa pulang ke Stadium Sultan Ibrahim.
Malah, tahap kecergasan semasa Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang dikeluarkan pada aksi di Likas terus dipantau pasukan perubatan Sabah FC dan Kim Swee sendiri.
“Bagi saya sesiapa yang cedera dan tak boleh bermain (aksi kedua di Iskandar Puteri) kita harus memikirkan solusi dan bukan fikirkan kecederaan mereka.
“Sudah tentu kita harus berada pada tahap terbaik untuk memastikan kita masih lagi dalam saingan sebelum berakhir minit terakhir di Johor nanti,” kata Ketua Jurulatih Sabah FC berusia 51 tahun itu.
ARTIKEL BERKAITAN : Piala Malaysia 2022 : Kecederaan Dominic, Rizal tukar banyak rentak permainan Sabah FC
Pemain The Rhinos yang disahkan terlepas perlawanan di Iskandar Puteri nanti adalah mereka yang berdepan kecederaan jangka panjang seperti Jackson de Souza dan Jose Embalo termasuk Gary Steven Robbat dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Sabah yang masih dalam persaingan harus segera memburu jaringan awal walaupun agak sukar kerana terpaksa bermain di hadapan puluhan setia peminat JDT di gelanggang keramat Harimau Selatan.
Pada pertembungan tegang di Stadium Likas, gol tunggal Arif Aiman Hanapi minit ke-34 membolehkan JDT membawa pulang bekalan tipis dan turut mengidam semula hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil buat kali kedua musim ini.
Jadi sama-sama kita nantikan pertemuan di Iskandar Puteri, adakah anak buah Hector Bidoglio kembali mengganas atau Sabah berjaya mencipta kejutan mara ke final buat kali keempat dalam sejarah kejohanan?