PENYERANG prolifik Terengganu FC, Brice Hermann Tchetche Kipre menjelaskan persiapan pasukan berada pada tahap terbaik serta berhasrat mendapatkan keputusan positif dalam aksi menentang Sri Pahang FC dalam aksi pertama Piala Malaysia esok malam.
Biarpun saingan di Piala Malaysia agak kompetitif, namun pemain kelahiran Ivory Coast itu tetap optimis mampu mendapatkan bekalan selesa sebelum bertandang untuk aksi timbal balik di Stadium Darul Makmur.
“Persiapan berjalan dengan baik. Kita cuba fokus untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam perlawanan pada Khamis.
“Saya rasa semua pasukan memiliki misi ke pusingan seterusnya kerana Piala Malaysia agak sukar kerana semua pasukan agak kompetitif.
“Bermain home dan away. Peluang agak sama rata buat semua pasukan, jadi kita bermain di halaman sendiri, kita sangat baik di tempat sendiri, kita harus menjalankan kerja dengan baik untuk membawa kelebihan di tempat lawan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Sedar Terengganu masih gagal membawa pulang sebarang trofi dalam tempoh yang agak lama, Kipre yakin rakan sepasukan akan beraksi sebaik mungkin untuk membawa pulang trofi tersebut ke bumi Terengganu musim ini.
“Sudah tentu kami mahu menang kerana sudah lama kita tidak mendakap trofi. Kita harap tahun ini tahun baik buat kami. Kita akan cuba buat segala-galanya untuk merangkul gelaran buat Terengganu kali ini untuk menjuarai Piala Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, penyerang berusia 34 tahun itu turut menyeru pemain ke-12 Skuad Peteh untuk terus berada di belakang pasukan sepanjang Piala Malaysia berlangsung agar matlamat meraih piala sulung buat Terengganu FC musim ini bakal menjadi kenyataan.
“Teruskan menyokong kami. Kita perlukan sokongan mereka sepanjang Piala Malaysia kali ini dan untuk merealisasikannya, saya fikir tiada apa yang mustahil,” gesanya.
Mengulas tentang kontrak Jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Mohd Zain yang bakal disambung pengurusan Terengganu FC, dia tidak meletakkan sebarang tekanan kepada jurulatih tersebut sambil menyokong penuh sebarang keputusan yang bakal dibuatnya dalam tempoh dua minggu lagi.
“Jurulatih kita profesional, dia tahu mana yang terbaik buatnya. Untuk saya, jika dia fikir ia adalah keputusan terbaik untuk tetap berada bersama pasukan, saya menghormatinya.
“Keputusan adalah di tangannya sendiri. Sudah tentu semua mahu dia bersama pasukan, tetapi ia terpulang kepadanya menentukan pasukan mana yang ingin disertainya,” ujarnya.