KOMITMEN, disiplin dan semangat juang yang dipamerkan pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) merupakan kunci kejayaan mencatat kemenangan positif ke atas Kedah Darul Aman FC pada aksi perlawanan pertama pusingan 16 TM Piala Malaysia 2022.
Nada ceria itu dilontarkan pengemudi NSFC, K Devan apabila skuadnya kini hanya selangkah sebelah kaki ke peringkat suku akhir.
Sambil akui faktor padang yang bertakung menyukarkan kawalan bola, Devan secara keseluruhan berpuas hati sepanjang 90 minit permainan.
“Saya tengok babak pertama kita bermula dengan baik dan kita ada peluang pada awal-awal permainan sebelum Kedah jaringkan gol pertama.
“Dan selepas itu kita buat banyak serangan dan kita ada peluang untuk menyamakan kedudukan tapi keadaan padang akibat hujan berikan reaksi berbeza buat pemain.
“Separuh masa pertama kita lancar serangan, mungkin air banyak bertakung dan kita alami sedikit kesukaran menghasilkan gol tetapi kita berjaya mendapat gol penyamaan pada babak pertama. Itu adalah turning point kepada kami terus pamer permainan baik di babak berikutnya,” katanya selepas perlawanan di Stadium Darul Aman pada Sabtu.
NSFC sedikit cemas berikutan serangan bertali arus Kedah terutama di penghujung permainan tetapi ketangkasan Syihan Hazmi banyak menyelamatkan gawang mereka daripada dibolosi buat kali kedua.
“Kita nampak pemain lebih yakin di babak kedua cuma di hujung-hujung Kedah cuba mengasak dapatkan gol dan kita kembali kuasai permainan.
“Akhirnya, kita dapat gol kedua berpunca satu gerakan cantik,” katanya harap pemain dapat kekalkan aksi sebegini di perlawanan kedua di Paroi pada 1 November.
Sementara itu, jurulatih sementara Kedah, A Victor masih optimis peluang pasukannya bangkit dengan segera memperbaiki kelemahan sedikit demi sedikit.
Ujarnya, dia tidak boleh mengubah keseluruhan keadaan dalam masa singkat dan akan memberikan lebih banyak peluang kepada pemain muda yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam membantu pasukan.
“Pemain muda telah buktikan kebolehan mereka, tapi pengalaman yang membezakan kita dengan Negeri Sembilan,” katanya.