FOTO: KDA FC
LALUAN berduri untuk Kedah Darul Aman (KDA) FC menyambar slot ke suku akhir apabila tumpas 1-2 bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi perlawanan pertama Pusingan 16 kempen TM Piala Malaysia 2022 di Stadium Darul Aman malam ini.
Beraksi dalam padang lembab berikutan hujan sebelum dan semasa saingan mengakibatkan kedua-dua pasukan bermula dengan corak permainan berhati-hati.
Tidak menunggu lama, Fayadh Zulkifli Amin yang bermula dalam kesebelasan utama meletakkan KDA FC di hadapan kehadiran 3,118 penonton di Alor Setar seawal minit kelapan.
Dalam keghairahan tuan rumah mencari jaringan tambahan, NSFC bangkit untuk menyamakan kedudukan selepas Che Rashid Che Halim menjaringkan gol pada minit ke-42.
Semangat pelawat terus membuak sebaik babak kedua bersambung dengan melakukan gerakan menarik dan hasilnya mereka berjaya mencipta gol kedua pada minit ke-66 menerusi tandukan penyerang import dari Brazil, Matheus Alves bagi meletakkan Negeri Sembilan mendahului buat pertama kali.
66' GOL | Matheus Alves meletakkan Negeri Sembilan di hadapan!@kda_fc 1-2 @nsfc1923 #TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/XdEJ6KYmV0
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) October 26, 2022
Ketangkasan Syihan Hazmi Mohamed di posisi penjaga gawang yang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Kedah turut berjaya mengekalkan kelebihan kedudukan sehingga ke wisel penamat.
Kemenangan skuad Jang ke atas KDA FC di Darul Aman adalah yang pertama sejak 10 tahun sekaligus menyaksikan pasukan kendalian K Devan itu berjaya membawa bekalan gol penting dalam usaha mara ke peringkat suku akhir.
Aksi timbal balas dijadualkan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 1 November ini.