PENGURUS Pengurus Sabah FC Bawah-21 Tahun (B-21), Matlan Marjan menjangkakan laluan sukar bakal ditempuh Sabah FC untuk mara ke saingan Piala AFC musim hadapan.
Perkara itu diakuinya setelah melihat undian yang telah dimuktamadkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang meletakkan Sabah FC bakal bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) sekiranya layak ke separuh akhir.
“Piala Malaysia juga agak sukar kerana menang pun separuh akhir bakal bertemu Johor Darul Ta’zim.
“Peluang itu, ikhlas saya cakap agak susah kita mahu lawan JDT. Kalau saya lihat prestasi, kalau ada rezeki mungkin kita akan dapat tetapi secara realistiknya prestasi terkini memang sukar kerana kita sudah jumpa JDT beberapa kali pun kita kalah,” jelasnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Senada dengan Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, Matlan turut menzahirkan kekesalan kerana keputusan diubah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada saat akhir sekaligus menyukarkan peluang Sabah FC untuk layak secara merit.
“Kalau kita ikut betul-betul jadual, sebab apa yang kita perjuangkan memang ada sasaran, tetapi kalau berubah di saat akhir itu memang tidak berapa mudah. Memang mengganggu, memang tidak berapa bagus kalau begitu,” ujarnya.
Pun begitu, legenda Sabah itu tetap berpendapat sasaran Sabah FC untuk bermain di Piala AFC masih relevan namun harus bergantung kepada pasukan Harimau Selatan untuk turut mendakap Piala Malaysia musim ini sekaligus slot ke Asia kembali menjadi milik Sabah.
Jika tidak, Sabah FC tiada pilihan lain kecuali memenangi Piala Malaysia 2022 yang dilihatnya ‘jauh panggang dari api’ untuk merealisasikan impian tersebut berdepan pasukan pilihan yang bakal beraksi di Piala Malaysia musim ini.
“Bagi saya, masih logik sasaran tersebut kerana kita sudah berbelanja begitu banyak, pemain pun dalam padang kelihatan begitu bersemangat.
“Jadi kalau tidak ada kejayaan, memang satu pembaziran juga. Tetapi sekarang ini saya lihat prestasi Sabah FC berada di kedudukan ke-3 di Liga Super juga baik buat pasukan.
“Kalau Piala Malaysia ini, kita boleh tebus kekalahan dengan JDT itu memang suatu kejayaan besar,” katanya.