SAINGAN Piala Malaysia 2022 bakal diteruskan dengan antara yang mencuri tumpuan lensa FLASH SUKAN adalah aksi Terengganu FC melayan kunjungan Sri Pahang FC dalam aksi timbal balik yang akan dilangsungkan di Stadium Mizan Zainal Abidin pada Selasa.

Terengganu FC sudah pasti mampu tersenyum lebar selepas kemenangan 5-1 menewaskan Sri Pahang FC di gelanggang lawan dalam aksi pusingan pertama Piala Malaysia.

Jurulatih Sang Penyu, Nafuzi Zain juga berkemungkinan akan menukar taktikal memandangkan telah selesa mendahului lawan.

Manakala, misi mustahil bukanlah sesuatu yang asing bagi pengendali Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh yang nyata memiliki kemampuan menukar impian tersebut menjadi realiti.

Seperti kebiasaannya, corak permainan Sri Pahang FC pasti akan dimulakan dengan asakan bertubi-tubi sebaik wisel babak pertama dibunyikan.

Anak buah Dollah juga perlu mencari gol awal sebagai penyuntik semangat untuk terus bernafsu memburu gol di Stadium Mizan Zainal Abidin.

Bagaimanapun, harus diingat rekod head to head  kelima-lima perlawanan masih memihak Terengganu FC apabila menang kesemuanya.

Ditambah dengan bermain di Stadium keramat Sang Penyu, Tok Gajah harus menyerap tekanan luar biasa dan meneruskan fokus menjaringkan seberapa banyak gol sehingga ke wisel penamat.

Segala-galanya bakal terjawab esok malam sama ada magis  Dollah berjaya dijelmakan atau Nafuzi akan tersenyum lebar meraikan kejayaan anak buahnya mara ke peringkat suku akhir.