BERKELEBIHAN satu jaringan menjelang aksi timbal balik peringkat 16 terbaik Piala Malaysia, Negeri Sembilan perlu melengkapkan misi wajib menang bagi memastikan mereka layak ke peringkat suku akhir.

Selepas menang tipis 2-1 di Stadium Darul Aman, skuad kendalian K. Devan kini perlu mengulangi pencapaian ketika perlawanan Liga Super untuk menghantar pulang Kedah Darul Aman FC dari Piala Malaysia.

Negeri Sembilan adalah pakej yang paling mengejutkan semua peminat bola sepak tempatan musim ini apabila berjaya menamatkan saingan liga di tangga keempat selepas promosi ke Liga Super pada 2021.

 

Devan pastinya akan membariskan kesebelasan terbaik bagi mencipta kemenangan di hadapan sekalian yang setia yang dijangka membanjiri Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Selasa.

Beberapa pemain muda dipertaruhkan Devan ketika perlawanan pertama pada Khamis dengan pemain seperti Amirul Hakimi Rosli diberikan kepercayaan menjadi penyerang utama bagi menampung kecederaan yang dialami Gustavo.

Di kem Kedah pula, tewas enam perlawanan berturut-turut jelas menggangu rentak dan semangat para pemain yang pastinya akan menghadapi satu lagi perlawanan yang sukar di Paroi.

Victor Andrag bagaimanapun pasti sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk memerangkap skuad Jang yang mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri dengan Kedah perlu mencari satu gol untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Victor Andrag memberikan arahan ketika sesi latihan

Sebagai jurulatih interim, Victor sendiri sudah tentu ingin merasai kemenangan sulung dan ini adalah peluang terbaik buatnya untuk melakukannya dan dia perlu menaikkan motivasi serta semangat para pemain untuk mencapai kemenangan seterusnya layak ke suku akhir.

Pemenang perlawanan ini akan berhadapan pemenang antara Selangor FC dan Kelantan United FC dan magis Piala Malaysia tidak boleh diketepikan kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.