PERTEMUAN dua pasukan Borneo, Sabah FC dan Kuching City FC dalam aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia 2022 pastinya dinantikan para peminat kerana mahu menyaksikan siapakah yang bakal bergelar jaguh dari Borneo.
Berbekalkan hanya satu kelebihan jaringan dari aksi suku akhir pertama, Sabah pastinya mahu menggunakan kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri sebagai pembakar semangat untuk mencipta kemenangan seterusnya layak ke separuh akhir.
Meskipun terpaksa turun tanpa beberapa tonggak terutamanya pemain import, namun gandingan pemain tempatan Sabah dilihat sangat berkaliber dan mampu untuk mencipta keputusan yang positif.
Datuk Ong Kim Swee sudah tentu mempunyai perancangan tersusun untuk memerangkap pasukan Kuching City dengan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar sekali lagi akan diletakkan sebagai pemain harapan di atas padang.
Buat skuad Kuching City pula, mereka akan turun tanpa tekanan kerana sedar mereka hanya memerlukan satu gol awal untuk menambah tekanan kepada pasukan tuan rumah.
Anak-anak buah Irfan Bakti semestinya sudah dipersiapkan untuk menghadapi perlawanan terpenting dalam sejarah kelab bagi membuktikan mereka layak untuk beraksi dalam keadaan berintensiti tinggi.
Kehadiran puluhan ribu penyokong Sabah mungkin tidak merisaukan barisan Kuching City kerana dua perlawanan mereka sebelum ini di tempat sendiri turut dihadiri penyokong yang ramai sekaligus menaikkan semangat para pemain.
Dengan Johor Darul Ta’zim dijangka sebagai lawan di separuh akhir, sudah tentu kedua-dua pasukan mahu membuktikan kehebatan masing-masing sebagai bekalan positif menjelang pertemuan dengan juara Liga Super.
Keadaan cuaca juga bakal menjadi penentu segalanya pada pertemuan esok dan penyokong yang hadir boleh menjangkakan aksi persembahan berkualiti dari kedua-dua pasukan.