TERENGGANU FC (TFC) enggan aksi suku akhir kedua Piala Malaysia bertemu KL City FC berlanjutan ke masa tambahan atau penentuan penalti.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain, sebaliknya mahu anak-anak buahnya ‘membereskan’ tugasan di depan penyokong sendiri dalam tempoh 90 minit permainan.

Namun Nafuzi mengakui bukan tugas mudah berdepan lawan itu yang lebih berpengalaman selaku juara bertahan Piala Malaysia dan finalis Piala AFC 2022.

“Kelebihan satu gol bukan bekalan selesa dan peluang masih terbuka untuk kedua-dua pasukan. Tapi apa yang penting TFC sudah mendahului perlawanan ini.

“KL City sudah ‘masak’ menghadapi pusingan kalah mati dan kami perlu beri yang terbaik untuk ke separuh akhir. Saya harap dapat habiskan dalam 90 minit.

“Mereka juga ada pemain yang baik di semua posisi selain berbahaya menerusi serangan balas dan situasi bola mati.,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu, Nafuzi menjelaskan TFC tidak akan menukar rentak susulan layangan kad merah kepada pemainnya dalam dua perlawanan berturut-turut.

TFC sebaliknya akan kekal dengan corak menyerang selain sudah membuktikan mampu memenangi perlawanan meskipun beraksi dengan 10 pemain sebelum ini.

“Ketiadaan penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin, tidak merisaukan kerana kami ada pengganti, Rahadiazli Rahalim dan Mohd. Sharmiza Yusoff yang sedia diturunkan.

“Malah tonggak pertahanan, Shahrul Nizam Roshasni juga memperkuatkan benteng TFC setelah kembali daripada penggantungan satu perlawanan,” ujarnya.