PERTAHANAN Sabah FC, Nazirul Naim Che Hashim nyata gembira selepas Baddrol Bakhtiar berjaya memecah kebuntuan pada minit-minit akhir perlawanan dengan jaringan tunggal dalam aksi di Stadium Negeri, Sarawak malam tadi.
Jelas Nazirul, pasukan Sabah FC bertindak sebagai sebuah unit dan jaringan dari mana-mana pemain The Rhinos sangat bermakna buat pasukan terutama di saat – saat genting apabila perlawanan suku akhir pertama malam tadi seakan – akan berkesudahan seri 0-0.
“Kami semua gembira sesiapa pun yang jaringkan untuk perlawanan semalam kerana sebagai pasukan kami tidak memilih sesiapa untuk menjadi penjaring.
“Semua boleh menjaringkan gol. Jadi gol BB7 semalam membantu Sabah untuk mendapatkan kemenangan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Lebih mengujakan, persembahan keseluruhan Sabah FC juga semakin positif apabila berjaya mencatatkan clean sheet setelah benteng terakhir yang dikawalnya bersama penjaga gawang, Damien Lim langsung tidak dibolosi dalam perlawanan menentang Kuching City FC semalam.
“Alhamdulillah. Walaupun kemenangan tipis tapi kami tidak mahu dibolosi. Sebab dalam beberapa perlawanan terakhir, Sabah FC dibolosi di minit-minit akhir perlawanan. Jadi semalam kami gembira tidak dibolosi,” jelasnya.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Kuala Kangsar itu mengakui Kuching City FC tetap mempersembahkan aksi bertenaga dan kerap mengundang masalah kepada The Rhinos dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Negeri pada Sabtu malam.
Meskipun berjaya pulang dengan kemenangan tipis namun masih terdapat banyak ruang yang perlu diperbaiki pasukan Sabah FC menjelang aksi timbal balik di Stadium Likas Jumaat depan.
“Alhamdulillah. Kuching City FC juga memberikan saingan sengit dan banyak membuat serangan berbahaya.
“Banyak yang perlu kami perbaiki untuk aksi di Likas nanti. Kami perlu kaji semula kelemahan perlawanan semalam untuk bersedia sepenuhnya menjelang aksi di Likas,” ujarnya.