JURULATIH Negeri Sembilan FC, K. Devan gembira dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya sepanjang 90 minit permainan dan beranggapan skuadnya sememangnya layak untuk ke suku akhir Piala Malaysia.
Dia turut berpuas hati dengan corak bertahan yang ditunjukkan dan tidak meletakkan sebarang kesalahan kepada barisan serangan walaupun mensia-siakan banyak peluang yang terhidang.
Selain itu Devan turut berkata perlawanan bertemu Selangor pada suku akhir nanti pastinya satu perlawanan yang berbeza dan mereka mempunyai peluang yang seimbang untuk layak ke separuh akhir.
“Kami sememangnya layak untuk ke suku akhir meskipun kami mempunyai banyak peluang jaringan tetapi gagal termasuk sepakan penalti. Kredit kepada para pemain yang telah memberi satu komitmen yang tinggi terutama ketika bertahan dan berjaya menghalang Kedah daripada menjaringkan gol.
“Babak pertama kami mempunyai banyak peluang dan lebih baik berbanding pasukan lawan. Kami bertahan dengan baik sepanjang permainan dengan konsentrasi pemain begitu baik walaupun agak keletihan pada 15 minit terakhir.
“Gustavo patut menjaringkan gol dan jika itu terjadj kami tidak perlu bersusah payah sehingga minit terakhir tetapi saya berpuas hati layak ke suku akhir. Kini fokus terarah kepada Selangor dan kami mungkin menghadapi masalah dari sudut pemulihan pemain.
“Perlawanan bertemu Selangor pastinya berbeza dengan atmosfera dan intensiti berbeza dan dengan taktikal yang baik, kami mempunyai peluang yang seimbang untuk layak ke separuh akhir,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Devan juga masih menaruh harapan untuk pergi sejauh mungkin dengan menekankan aksi ketika di laman lawan sangat penting sebelum beraksi di laman sendiri.
Negeri Sembilan FC bakal bertemu Selangor FC di peringkat suku akhir dengan aksi pertama di Stadium MBPJ pada Ahad, 6 November 2022 sebelum aksi timbal balik di Paroi pada 12 November 2022.