WALAUPUN mempunyai kelebihan tiga gol, namun Kuala Lumpur City FC tidak akan mengambil mudah apabila turun beraksi untuk perlawanan timbal balik Piala Malaysia 2022 menentang PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa.

Pengendali pasukan Bojan Hodak yang gembira dengan kemenangan pada perlawanan pertama tempoh hari akan memberikan peluang kepada beberapa pemain yang kurang bermain untuk membawa cabaran KL City.

Bukan menidakkan kelebihan yang ada serta lawan yang bermain di Liga Premier, Bojan masih mengharapkan pemain penyerangnya menjaringkan gol kerana ianya bagus untuk menaikkan semangat bagi menghadapi perlawanan peringkat berikutnya sekiranya layak.

“Seminggu yang lalu kami bermain di perlawanan akhir Piala AFC dan kini kami bertemu pasukan dari Liga Premier dan ini adalah peluang terbaik untuk saya berikan peluang kepada dua tiga lagi pemain yang jarang diturunkan untuk menggalas tugasan buat kelab ini.

“Kesemua pemain mahu bermain kerana mereka sentiasa dahagakan kemenangan namun saya perlu melakukan penggiliran pemain kerana tempoh rehat yang agak singkat antara setiap perlawanan.

“Saya turut berharap agar penyerang kami terutama Jordan Mintah dapat menjaringkan gol kerana ianya penting untuk mendapatkan semula keyakinan kerana sebagai penyerang tugas mereka adalah menjaringkan gol,” jelasnya.

Sementara itu, PDRM FC masih tidak mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Malaysia dan mereka akan menggunakan 90 minit kedua ini untuk memperbaiki segala kesilapan yang dilakukan pada perlawanan pertama.

Pengendali pasukan, Razak Jamadi sudah mengenalpasti kelemahan yang ada dan dia mahukan anak-anak buahnya untuk memberikan segalanya dalam aksi Selasa ini meskipun sedar tugas berat menanti mereka kerana ketinggalan tiga gol.

“Kami sedar kelemahan yang ada pada pasukan dan kami akan memperbaiki semua kelemahan ini untuk aksi timbal balik dan berharap barisan serangan dapat menjaringkan gol,” katanya.

Pemenang perlawanan ini akan bertemu sama ada Terengganu FC atau Sri Pahang FC dengan Kuala Lumpur City pastinya mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.