AKSI suku akhir Piala Malaysia 2022 antara Kelantan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pastinya menggamit memori para penyokong bola sepak tempatan kepada musim 2013.

Ketika itu, JDT baharu sahaja ditubuhkan manakala Kelantan sedang berada pada tahap prestasi terbaik apabila menyapu bersih kesemua trofi domestik yang dipertandingkan.

Berselang sembilan tahun, JDT sudah bergelar juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, juara Piala FA sebanyak dua kali dan juara Piala Malaysia juga sebanyak dua kali serta beraksi cemerlang di peringkat benua Asia manakala Kelantan terjerumus ke saingan Liga Premier.

Kelantan pastinya mahu membuktikan kemampuan mereka kepada para penyokong meskipun dilihat bukan mudah buat The Red Warriors untuk menghalang kemaraan sang Harimau Selatan.

Anak-anak buah Rezal Zambery Yahya berjaya mengejutkan Sarawak United untuk layak ke peringkat suku akhir dan kini bakal berhadapan gergasi bola sepak tanah air yang dipenuhi pemain bintang.

Mereka beraksi cemerlang dalam Liga Premier dengan muncul naib juara selepas dipintas pada saat akhir oleh JDT II sekaligus gagal bergelar juara tetapi dalam pusingan kalah mati, ianya adalah satu pertandingan yang berlainan.

Meskipun dilihat sukar untuk melakar kejutan, namun dalam bola sepak apa jua boleh terjadi dan aksi di Kota Bharu nanti akan menjadi penentu kemampuan Kelantan untuk menyekat barisan Hector Bidoglio daripada mara lebih jauh.

Bagaimanapun, dengan keadaan ramai pemain yang kurang cergas, Rezal pastinya mahu memastikan pasukannya mampu memberikan saingan sekurang-kurangnya tidak memberikan laluan mudah buat JDT.

JDT pula sudah tentu akan menurunkan kesebelasan terbaik mereka untuk memadam harapan Kelantan sebelum aksi timbal balik di Iskandar Puteri seperti mana yang dilakukan terhadap PJ City FC dalam peringkat 16 terbaik.

Penyokong setia The Red Warriors

Namun semangat ‘This Is Kota Bharu’ pastinya akan meresap dalam setiap pemain Kelantan yang pasti mengidamkan kejutan terbesar dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Apa juga keputusan, para penyokong yang membanjiri Stadium Sultan Mohammad ke-IV pastinya akan disajikan dengan aksi yang mantap dari kedua-dua pasukan dan menarik untuk disaksikan.