BIARPUN di atas kertas pertembungan antara dua darjat ini dilihat bakal memihak Selangor FC, namun rantaian pemain import dimiliki Kelantan United usah dipandang sebelah mata.
Ketiadaan pemain tonggak Alex Agyarkwa dan Sharul Nazeem Zulpakar dilihat sedikit mendatangkan kebimbangan buat skuad Gergasi Merah apabila terpaksa merantai keampuhan jenteta serangan Kelantan United FC.
Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe sudah tentu memiliki percaturan taktikal terbaik berlandaskan prestasi memberangsangkan Selangor FC sejak pengambilalihannya dari tampuk kepimpinan DNA Jerman, Michael Feichtenbeiner jelas menampakkan permulaan positif.
Sementara itu, Kelantan United pula sudah pasti mempertaruhkan tiga tonggak utamanya, Masashi Motoyama, Jacob Njoku dan Nik Akif Syahiran untuk mengucar-ngacirkan pertahanan Selangor FC.
Memandangkan ini peluang terbaik buat Kelantan United membuktikan pasukan di Liga Premier juga mampu bersaing lebih jauh dalam aksi Piala Malaysia, maka sudah tentu mereka akan turun dengan misi mencari kemenangan selesa lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri.
Persoalan tentang apakah benar wujud perbezaan kualiti antara dua darjat itu akan terjawab dalam aksi 90 minit malam ini apabila Kelantan United FC bakal melayan kunjungan Selangor FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV.