EMPAT aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2022 ternyata menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air apabila hampir 4.8 juta tontonan berjaya dicatatkan menerusi siaran langsung di saluran YouTube unifi.

Angka ini bagaimanapun tidak termasuk jumlah tontonan siaran langsung di unifi TV dan Sukan RTM serta TV Okey selain hampir 50,000 penyokong hadir ke empat venue pertandingan.

Pertembungan klasik antara Kelantan FC dan Johor Darul Ta’zim di Kota Bharu menyaksikan 2.2 juta tontonan dicatatkan manakala lebih 20,000 penyokong hadir ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV yang menyaksikan JDT menang selesa dengan tiga gol tanpa balas.

Jumlah tontonan di platform YouTube unifi

Aksi penyandang juara, Kuala Lumpur City FC dan pasukan yang dalam prestasi terbaik, Terengganu FC pula disaksikan 1.1 juta tontonan di internet dengan hampir 5,000 penyokong membanjiri Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dalam aksi dramatik yang menyaksikan TFC membawa bekalan tipis satu gol ke Kuala Terengganu.

Derbi Borneo yang baharu antara Kuching City FC dan Sabah FC turut menarik peminat apabila 783,000 tontonan dicatatkan dan seperti di Kota Bharu, Stadium Negeri menerima kunjungan lebih 20,000 penyokong menjadi saksi kemenangan tipis Sabah.

Aksi penyokong Terengganu di Cheras

Perlawanan antara dua pasukan berjiran, Selangor FC dan Negeri Sembilan FC mencatat angka terendah pada suku akhir pertama ini dengan hanya 680,000 tontonan di YouTube dan hanya 3,700 penyokong hadir ke stadium untuk menyaksikan skuad Tan Cheng Hoe menang 2-0 mengatasi anak-anak buah K.Devan.

Dengan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2022 dijadualkan pada Sabtu dan Ahad, angka tontonan dijangka akan lebih meningkat kerana intensiti yang semakin tinggi dengan perebutan tiket ke separuh akhir menjadi rebutan kesemua lapan pasukan yang bertanding.

Stadium Sultan Ibrahim, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Stadium Likas dan Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi juga dijangka penuh dengan para penyokong yang pastinya mahukan aksi terbaik daripada pasukan kesayangan mereka.