TANPA sebarang tekanan dan harapan yang diletakkan oleh para penyokong, Sabah FC secara tiba-tiba menjadi tumpuan apabila berjaya menduduki tempat ketiga Liga Super sekaligus mendapat laluan yang dilihat lebih mudah di Piala Malaysia.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee kini akan berhadapan pasukan muda UiTM FC dengan jika dilihat pada prestasi semasa, tidak ada yang mampu untung menghalang Sang Badak untuk terus mara ke peringkat suku akhir.

Namun berdasarkan pengalaman yang luas ada pada dirinya, Datuk Ong tidak sesekali memandang rendah pasukan universiti ini kerana dalam bola sepak terutama pertandingan piala, pelbagai kejutan boleh berlaku dan inilah perkara yang ingin dielakkan olehnya.

 

Sabah yang dibarisi pemain berpengalaman akan menggunakan perlawanan pertama ini sebaik mungkin untuk membawa bekalan selesa ke Likas menjelang aksi timbal balik pada 31 Oktober 2022.

“Saya mahu lihat pasukan saya mara sejauh yang boleh dalam saingan Piala Malaysia tahun ini dan sasaran ke Asia masih menjadi matlamat utama para pemain dan pasukan ini.

“Meskipun kami bakal beraksi tanpa ramai pemain import, tetapi saya tetap yakin dengan kemampuan barisan pemain yang ada dan kami tidak memandang rendah pasukan UiTM kerana mereka sudah pasti akan bermain mati-matian dalam perlawanan pada Rabu,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Juara Piala Malaysia 2022 akan diberikan tiket automatik ke peringkat kumpulan Piala AFC 2023 dengan Sabah FC sudah tentu mahukan tiket itu selepas terlepas ke tangan Terengganu FC pada aksi terakhir liga.

UiTM FC yang mengakhiri saingan Liga Premier dengan dua kemenangan berturut-turut pastinya akan menggunakan momentum itu untuk mencipta kejutan meskipun dilihat sukar untuk dilakukan.

Namun barisan kendalian Ismail Ibrahim itu akan menggunakan kempen Piala Malaysia ini sebagai pentas untuk menimba pengalaman dan mencuba beberapa gandingan bagi menghadapi musim Liga Super 2023.