PENJAGA gawang Selangor FC, Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid menjelaskan persaingan sengit terpaksa ditempuhi semasa menjalani sesi latihan bagi mengisi slot penjaga gol utama yang sebelum ini digalas Sam Somerville berikutan dirinya tidak berada pada tahap terbaik.
“Sam Somerville memang bagus sebelum ini. Dia menjalankan tugas dengan cukup baik selepas saya off form. Syukur Alhamdulillah, Sam beri yang terbaik buat pasukan. Saya fikir ini persaingan sihat untuk pasukan,” ujarnya ketika ditemui media selepas tamat perlawanan di Stadium MBPJ Kelana Jaya malam tadi.
Dalam pada itu, dia sempat memuji kewibawaan Tan Cheng Hoe dalam mengendalikan pasukan Selangor FC di kala prestasi pasukan berada pada tahap tidak konsisten.
“Coach Tan ini satu nama yang besar. Dia bimbing budak-budak memang terbaik. Kesemua pemain akan ambil 100 peratus dan diterjemahkan sepenuhnya ke dalam padang. Alhamdulilah dengan kehadiran Cheng Hoe, kita dah beri 100 peratus dan jurulatih telah nampak kesungguhan kami,” katanya.
Bagaimanapun, penjaga gawang berusia 33 tahun itu menganggap kelebihan dua gol di laman sendiri bukanlah suatu jaminan bagi Selangor FC mara ke pentas separuh akhir sebaliknya perlu mengerah keringat untuk tempoh 90 minit seterusnya di Paroi.
ARTIKEL BERKAITAN : Davies selesa corak latihan KPG, Khairulazhan sedia sahut cabaran
“Itu bukan bekalan selesa untuk pergi ke Paroi. Pasukan akan buat lebih baik lagi pada perlawanan di Paroi nanti. Saya rasa bukan mudah untuk kita bermain di sana. Jadi, kita harus berikan sebaik mungkin dan melakukan terbaik,” jelasnya.
Pemain kelahiran Pahang itu turut menyeru penyokong agar terus memberi sokongan untuk mereka menjelmakan kemenangan dalam aksi timbal balik Piala Malaysia di Paroi Sabtu depan.
“Penyokong kita tahu mereka akan datang untuk menyokong. Mereka beli tiket menyaksikan kita bermain. Kita sebagai pemain berikan kemenangan untuk mereka,” kongsinya.