ARKITEK tengah Sabah FC, Stuart Wilkin berazam menggunakan segala corak taktikal yang dipelajari di United Kingdom kepada rakan sepasukan untuk diterjemahkan dalam aksi separuh akhir kedua menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Biarpun tidak dapat diturunkan dalam aksi pertama menentang JDT ekoran masalah kecederaan, Stuart John Wilkin yakin Sabah FC mampu beri saingan untuk mara ke perlawanan akhir.

“Di United Kingdom, corak permainan kami adalah lebih menjurus ke arah taktikal, sama juga ketika saya bermain di Sabah. Saya akan gunakan pengalaman bermain di United Kingdom untuk menewaskan JDT,” ujarnya ketika ditemubual FLASH SUKAN.

“Saya mahu bekerja keras untuk pasukan. Kesemua penyerang kami positif. Terutama di final third. Saya akan cuba membuat hantaran kepada penyerang-penyerang kami yang juga berbahaya.

“Apa-apapun ia penting untuk pasukan menang dan saya tidak fikirkan tentang siapa sepatutnya menjadi penjaring sebaliknya ia adalah kerja sepasukan,” kongsinya.

Dalam pada itu, Stuart menjelaskan The Rhinos perlu menjaringkan seberapa banyak gol terlebih dahulu dan mengelakkan gawang gol dari dibolosi skuad Harimau Selatan.

“Kita yakin dengan kemampuan kami. Kami yakin Sabah akan mara tetapi kita harus mengelakkan jaringan pihak lawan dan wajib mencari seberapa banyak gol yang mungkin,” jelasnya memulakan karier bersama pasukan remaja Southampton.

Menjelang 90 minit aksi timbal balik yang akan bermula esok, dia menyeru penyokong untuk membanjiri stadium memberi sokongan padu supaya mereka turun dengan semangat juang yang tinggi.

“Terima kasih kepada penyokong. Kami tidak sabar untuk bermain di sana. Kami menjadi semakin bersemangat dengan kehadiran penyokong yang hadir ke Johor,” katanya.