JIKA diukur pada rekod pertemuan, keputusan Negeri Sembilan FC lebih baik berbanding pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC musim ini.
Namun begitu, pemain sayap pasukan KDA FC Syazwan Zainon tidak mengambil mudah perlawanan pembukaan di Stadium Darul Aman dibawah pengendali sementara Victor Andrag meskipun pernah tewas pada saingan Liga Super 2022.
Jelasnya, jurulatih itu memiliki perancangan tersendiri dengan mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri menggunakan format yang baharu Piala Malaysia 2022 edisi ke-101 ini.
“Kita pernah menentang mereka dan tewas 4-3, namun untuk Piala Malaysia kita mengharapkan kelainan ditampilkan selepas Liga Super kita serba tidak menjadi.
“Dalam aksi Piala Malaysia kita telah mendapat semangat yang baru” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Alor Setar pada Isnin.
AKSI PUSINGAN 16 MEDAN PERHITUNGAN SANG KENARI UNTUK BALAS DENDAM
🏆 TM PIALA MALAYSIA 2022
PUSINGAN 16: KDA FC vs NEGERI SEMBILAN FC
⚔️Perlawanan Pertama
KDA FC vs NEGERI SEMBILAN FC
26 Oktober 2022, Rabu, 9.00 malam
Stadium Darul Aman pic.twitter.com/9fbu6uQaat— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) October 24, 2022
Syazwan atau lebih mesra disapa Wan Karpet tidak pasti siapakah pemain bakal dipertaruhkan memandang skuad itu kini diterajui Victor selaku jurulatih interim menggantikan Aidil Sharin Sahak.
“Coach Victor ada perancangan tersendiri dan kita harap format baru memberikan Kedah kelebihan.
“Saya percaya dengan kerjasama tinggi rakan sepasukan harus menjaringkan gol awal bagi memberikan kelebihan di laman sendiri,” katanya lagi selepas menghadiri pelancaran House Of Sang Kenari di Lebuhraya Darulaman Kancut Alor Setar Kedah.
Perlawanan pertama Pusingan 16 dijadual berlangsung pada Rabu ini sebelum kedua-dua pasukan berentap semula di Paroi, 1 November.