PENJAGA Gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menjadikan penjaga gawang Bayern Munich , Manuel Neuer dari Jerman sebagai idolanya kerana memiliki kredibiliti luar biasa sebagai benteng terakhir pasukan.

“Penjaga gol dari luar negara, Bayern Munich sebagai idola dan kalau zaman sekarang, Manuel Neuer dari Jerman.

“Banyak perkara saya suka tentangnya. Cara dia bermain, kredibilitinya sebagai penjaga gol. Banyak, memang sangat banyak yang saya suka tentangnya,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Mengulas aksi suku akhir pertama pada Ahad bertemu Selangor FC,  Syihan menggesa rakan sepasukan agar tidak mengambil mudah kerana mereka antara kelab yang terbaik di Malaysia

“Bagi Syihan dan pasukan, kita tidak boleh ambil mudah kerana Selangor FC juga kelab yang besar. Setiap pemain perlu melakukan yang terbaik menentang Selangor.

“Sebagai penjaga gol, kita tidak memandang rendah mana-mana pemain Selangor. Kita harus fokus dalam 90 minit permainan dan kita tidak hanya mengawasi pemain-pemain tertentu sebaliknya melihat keupayaan lawan sebagai satu unit,” katanya.

Setakat ini, pemain kelahiran Kelantan itu turut ditawarkan kontrak lanjutan bersama Negeri Sembilan FC serta beberapa kelab besar lain namun masih enggan membuat keputusan.

“Setakat ini Negeri Sembilan juga ada menawarkan kontrak lanjutan bersama pasukan termasuk beberapa kelab lain tetapi saya akan fokus untuk saingan Piala Malaysia dahulu,” jelasnya.