SELEPAS Terengganu FC berjaya membelasah Sri Pahang FC  5-1 dalam aksi Piala Malaysia pusingan pertama Jumaat malam, Manuel Gelito Ott tampil menjelaskan bahawa Nafuzi Zain adalah antara jurulatih tempatan terbaik pernah ditemuinya.

Jelasnya, taktikal ‘Nafuzi Ball’ yang dibawa ke dalam skuad tersebut jelas berjaya menghadirkan kejayaan demi kejayaan buat pasukan dari pantai timur itu.

“Nafuzi adalah seorang jurulatih di negara Malaysia yang bijak dan dia telah menjalankan tugasnya dengan sangat baik.

“Maka, ia tidak hairan mengapa semua mahu dia untuk terus kekal bersama pasukan dan membimbing Terengganu FC.

“Apa yang saya gemar tentang Nafuzi, dia berjaya terapkan satu corak permainan (Nafuzi Ball) yang digemari pemain dan penyokong pasukan Terengganu,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Sedar sasaran untuk beraksi di pentas Asia sudahpun menjadi realiti, dia kini lebih ‘santai’ dalam aksinya bersama pasukan Terengganu.

Manuel Ott  kini ingin membawa Sang Penyu menjulang Piala Malaysia yang turut merupakan piala pertama pasukan tersebut andai berjaya dirangkulnya musim ini.

Malah, Ott bercita-cita membawa kelabnya mara sejauh mungkin dan menjadi pasukan yang disegani bukan sahaja di Malaysia, bahkan juga di peringkat antarabangsa.

“Seperti biasa, kita bermain untuk menang di Piala Malaysia Ia adalah sasaran kelab. Kini, kami lebih menikmati setiap perlawanan kerana kami telah layak ke Piala AFC.

“Namun, kami masih dahagakan kemenangan selepas kami mengharungi satu musim yang membanggakan.

“Saya akan cuba bawa Terengganu sejauh mungkin. Bukan untuk saya seorang tetapi untuk keseluruhan pasukan Terengganu,” katanya.