SKUAD Terengganu FC (TFC) yang bermain dengan 10 pemain sepanjang 20 minit terakhir perlawanan tidak dapat membawa pulang kelebihan agregat yang selesa ke Kuala Terengganu apabila disaingi hebat penyandang juara, Kuala Lumpur City FC.
Kad merah yang dilayangkan kepada penjaga gol Suhaimi Husin menjejaskan rentak permainan anak-anak buah Nafuzi Zain dan terpaksa berpuas hati dengan kemenangan 1-0 hasil jaringan Kpah Sherman pada babak pertama.
Sherman meneruskan momentum cemerlang dengan gol keenam dari tiga perlawanan Piala Malaysia yang memberikan kelebihan kepada Terengganu walaupun dikawal ketat barisan pertahanan KL City.
Keputusan Masa Penuh
Kuala Lumpur City FC 0-1 Terengganu FC
⚽ (TFC) Kpah Sherman 14'#sampaimatikualalumpur#petehtranungpeteh pic.twitter.com/8TOqT87vBi
— Flash Sukan (@FlashSukan) November 6, 2022
Anak-anak buah Bojan Hodak pula harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal menyempurnakan banyak peluang yang terhidang dan kini akan berdepan tugasan yang berat apabila bertandang untuk aksi timbal balik.
Meskipun bermain dalam keadaan padang yang basah namun kedua-dua pasukan menunjukkan aksi berbalas serangan yang menghiburkan lebih 4,000 penyokong di stadium yang didominasi penyokong skuad Peteh.
Beberapa insiden tegang terjadi di padang apabila banyak kekasaran dilakukan dari kedua-dua pemain pasukan hasil dari intensiti permainan tinggi yang ditunjukkan sejak awal perlawanan.
Tambahan tujuh minit masa kecederaan tidak dapat dimanfaatkan KL City untuk mencari gol penyamaan sekaligus menyaksikan kemenangan ketiga berturut-turut buat Terengganu dalam saingan Piala Malaysia.
Walaupun berjaya mencatat kemenangan namun ianya belum menjamin laluan Terengganu ke separuh akhir dengan aksi di Kuala Terengganu pada 12 November 2022 bakal menjadi penentu.