SABAH FC melengkapkan malam kegemilangan pasukan di hadapan ribuan penonton yang hadir di Stadium Likas apabila berjaya meranapkan harapan UiTM FC dengan kemenangan agregat 3-2, malam ini.
Aksi babak pertama ternyata dikuasai pasukan Sabah apabila berjaya mencipta gerakan merbahaya yang hampir menyebabkan pintu gol UiTM dibolosi namun faktor penyudah menggagalkan hasrat murni mereka.
UiTM FC juga dilihat sangat berdisiplin dalam corak pertahanan dan meletakkan hampir kesemua pemain untuk turun bertahan dengan hanya mengharapkan serangan balas bagi menghasilkan gol namun turut gagal membuahkan hasil.
The Rhinos yang mempamerkan corak menyerang akhirnya berjaya memperoleh gol pertama menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Muhammad Farhan Roslan pada minit-minit akhir perlawanan.
62' GOL | Farhan Roslan menyempurnakan sepakan penalti ini untuk gol pendahuluan di Stadium Likas!@SabahFCofficial 1-0 @uitmfclions #TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/HW5XNQNz9h
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) October 31, 2022
Seakan-akan perlawanan sudah pasti menjadi milik Sabah, muncul Farez Aiman Marzuki bijak menyelinap masuk memastikan gol penyamaan berjaya diraih pelawat.
Asakan diteruskan namun ia sudah agak terlambat buat UiTM apabila terpaksa akur tewas menerusi kiraan agregat 3-2 biarpun seri dalam aksi di Stadium Likas.
Keputusan tersebut menyaksikan Sabah FC mara ke peringkat suku akhir bertemu Kuching City FC setelah mereka terlebih dahulu menang tipis 2-1 mengatasi Penang FC pada masa tambahan.