HARAPAN hampir 20,000 penyokong Kelantan FC yang hadir ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV untuk melihat kejutan berlaku tidak kesampaian apabila terpaksa akur kepada kehebatan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Anak-anak buah Rezal Zambery Yahya itu tewas 0-3 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2022 meskipun JDT terpaksa bermain dengan 10 pemain sepanjang 15 minit terakhir perlawanan.

Gol-gol JDT dijaringkan Bergson Da Silva, Syafiq Ahmad dan Leandro Velasquez sudah cukup untuk Harimau Selatan membawa pulang bekalan selesa ke Iskandar Puteri untuk suku akhir kedua nanti.

 

Afiq Fazail yang cemerlang beraksi dengan satu bantuan jaringan yang sangat baik dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua apabila dia mengasari pemain Kelantan FC.

Keadaan padang yang basah menyukarkan kedua-dua pasukan untuk melakukan hantaran dan bermain dengan baik serta banyak kekasaran dilakukan hingga menjejaskan keseluruhan permainan.

Kemenangan JDT ini bagaimanapun dibayar dengan harga yang mahal apabila bakal kehilangan khidmat Shahrul Saad dan Afiq Fazail yang digantung permainan pada aksi timbal balik pada 11 November 2022.

Keadaan sedikit tegang pada penghujung perlawanan apabila berlaku sedikit kekasaran dengan kedua-dua pemain dan pegawai pasukan saling bertegang urat namun berjaya dileraikan oleh pengadil perlawanan.

JDT kini dilihat seakan-akan sudah sebelah kaki ke peringkat separuh akhir dan misi menyapu bersih kesemua piala domestik dilihat semakin menghampiri sang Harimau Selatan.