KUALA LUMPUR CITY FC memulakan kempen mempertahankan Piala Malaysia dengan bergaya apabila mudah membenam cabaran PDRM FC dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Dua gol pada setiap babak oleh Romel Morales dan satu dari Paulo Josue cukup memberikan kemenangan 3-0 kepada skuad Warga Kota sebagai bekalan untuk menghadapi perlawanan timbal balik 1 November nanti.
PDRM nyata tidak mampu menyaingi finalis Piala AFC ini apabila dilihat lebih banyak bertahan dengan hanya beberapa peluang yang hampir menjelmakan gol namun dihampakan ketumpulan penyudah barisan penyerang.
Bojan Hodak merehatkan banyak pemain-pemain utama dan KL City dilihat sedikit tertekan pada awal perlawanan sebelum akhirnya berjaya mendahului menerusi Romel Morales pada penghujung babak pertama.
Gol itu sedikit melemahkan semangat PDRM FC dan dengan beberapa pertukaran yang dilakukan KL City pada babak kedua, Paulo Josue berjaya menggandakan kedudukan 20 minit sebelum permainan tamat.
Romel Morales membuktikan dirinya masih berbisa dengan gol kedua peribadi sekaligus menutup peluang skuad Sang Saka Biru untuk bangkit dan kini mempunyai cabaran yang cukup getir pada perlawanan kedua.
Kemenangan ini dilihat sudah meletakkan Kuala Lumpur City sebelah kaki ke suku akhir dan Bojan Hodak mungkin boleh merehatkan beberapa pemain sebagai persiapan menghadapi pusingan berikutnya.