JURULATIH Selangor FC, Tan Cheng Hoe yakin langkah Malaysian Football League (MFL) melakukan rombakan dengan meminda peringkat kumpulan Piala Malaysia 2022 kepada aksi timbal balik telah diteliti sebaik mungkin sebelum keputusan tersebut dimuktamadkan.
Jelasnya, skuad kendaliannya kini menunjukkan sikap harmoni dan positif bagi mengharungi aksi Piala Malaysia yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Jelasnya, dia teruja melihat kemampuan pemain Selangor FC dalam sesi latihan dan sudah tentu akan meletakkan bakat-bakat dan potensi besar untuk diletakkan dalam kesebelasan utama.
Kini, keutamaannya adalah peningkatan prestasi pemain selain turut mempertaruhkan pemain muda untuk menampilkan aksi terpuji semasa sesi latihan untuk diberi peluang diturunkan dalam skuad utama.
“Saya rasa MFL sudah buat kajian dan sudah menilai tentang pusingan kalah mati tersebut dan kita tahu kemungkinan besar kerana jadual yang padat.
“Bagi saya, bergantung kepada pemain bagaimana mereka mengendalikan situasi tersebut.
“Sasaran saya buat masa ini adalah ingin meningkatkan prestasi pemain. Kita ada satu atau dua sesi lagi untuk mengenalpasti situasi. Diharapkan pemain muda dan berbakat dapat menampilkan aksi yang baik.
“Dalam sesi latihan lepas, saya melihat pemain mampu bergabung dan yang paling penting harmoni antara sesama pemain,” katanya.