UNDIAN saingan Piala Malaysia 2023 menyaksikan satu perlawanan yang menarik bakal disajikan kepada para penyokong bola sepak tempatan apabila PDRM FC sekali lagi akan bertemu juara 33 kali, Selangor FC.

Dalam aksi Liga Super sebelum ini, skuad Sang Saka Biru melakukan kejutan apabila menewaskan Selangor 1-0 sekaligus menyaksikan PDRM muncul sebagai pasukan ‘giant killer’ selepas turut menewaskan Kedah pada awal saingan liga.

Perlawanan pusingan 16 Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Khamis menyaksikan PDRM akan menjadi tuan rumah dan mereka mahu menggunakan kesempatan itu untuk mendapatkan bekalan selesa sebelum aksi timbal balik.

 

Pengendali sementara PDRM FC, Edi Gapil berkata persiapan pasukannya dalam keadaan yang positif dan kehadiran pemain import baharu, Mario Arques bakal menambah sengat jentera tengah dan mahu anak-anak buahnya memberikan aksi terbaik meskipun sedar kekuatan Selangor.

“Persiapan pasukan sangat positif dan kami tetap menganggap kami sebagai pasukan ‘underdog’. Selangor mempunyai kualiti tetapi kami akan memberikan semaksimum mungkin dan jika boleh kami mahu pergi sejauh yang boleh dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

“Kalau boleh kami mahu dapatkan gol awal dan elak dibolosi meskipun sedar Selangor mempunyai pemain yang bekualiti dengan import baharu yang baik. Walaupun tanpa Faisal Halim, mereka masih skuad yang baik,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Sementara itu pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe pula percaya pemainnya akan menggalas cabaran Piala Malaysia ini dengan baik meskipun dilanda masalah kecederaan dan Selangor mahu mencabar kejuaraan kali ini.

“Walaupun kita mahu mengejar kelompok teratas Liga Super, tetapi kita juga memberikan perhatian kepada saingan Piala Malaysia walaupun dilanda kecederaan.

“Sebagai jurulatih, saya percaya skuad sedia ada mampu untuk memberikan cabaran kerana setiap pemain mahukan kemajuan secara individu dan secara langsung pasukan akan mendapat faedah,”.