JURULATIH Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee beranggapan faktor padang yang agak lembab serta kecergasan para pemain memainkan peranan penting dalam mendapatkan keputusan semasa bertemu Perak FC di Ipoh pada Isnin.

“Keadaan padang yang agak lembab termasuk tempoh hari kita bermain di Likas hujan kemudian selang beberapa hari kita bermain lagi jadi ini merupakan antara beberapa faktor yang menyebabkan keletihan pemain-pemain kita.

“Selepas ini beberapa hari lagi kita akan bermain menentang Kelantan di tempat lawan. Jadi saya harus fikirkan banyak perkara terutama aspek kecergasan pemain sebelum kita bermain dengan pasukan Makassar di Bali nanti,” ujar Kim Swee selepas perlawanan.

Permainan Darren Lok (kiri) serba tidak menjadi ketika bertemu Perak FC, malam tadi.

Bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu akui nasib kurang berpihak buat mereka dan gagal menjaringkan gol dalam kunjungan ke Ipoh.

Sebaliknya, pada perlawanan itu, Sabah yang membawa bekalan dua jaringan gagal menghalang kebangkitan Perak sebelum tunduk agregat 3-2 hasil gol tunggal pemain berpengalaman, Wan Zack Haikal Wan Noor di penghujung babak pertama.

Beliau tidak ketinggalan mengucapkan syabas buat anak buah Yusri Che Lah kerana menunjukkan semangat melawan sehingga berjaya menembusi peringkat separuh akhir.

“Saya ucapkan tahniah kepada Perak yang bersungguh-sungguh ingin mendapatkan keputusan untuk layak dan semoga dapat buat yang terbaik untuk berdepan dengan Johor Darul Ta’zim di mana ini akan memberi suatu impak yang berlainan kepada penyokong-penyokong Perak untuk terus melangkah lebih jauh,” katanya.